Skip to main content
Walaupun Dalam Zon Merah, Sekolah Di Selangor Masih Ada Belum Tutup. Ini Kenyataan Dari Jab Pendidikan Selangor

MENJADI kebimbangan utama ibu bapa! Terdahulu, Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin dalam perutusan khasnya berhubung situasi semasa Covid-19 berkata, setakat ini, kerajaan memutuskan untuk menutup sekolah di kawasan zon merah iaitu Kota Kinabalu, Penampang, Putatan, Tawau, Lahad Datu, Kunak dan Semporna di Sabah.

Namun, Jabatan Pendidikan Negeri Selangor (JPNS) memaklumkan sesi persekolahan di Klang masih diteruskan seperti biasa setakat ini walaupun daerah itu dikategorikan sebagai zon merah semalam.

Memetik portal media tempatan, Pengarahnya, Izmi Ismail berkata, sebarang penutupan sekolah hanya akan dilakukan selepas mendapat saranan dari Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

Beliau berkata, setakat ini, hanya tujuh kelas melibatkan dua sekolah di Klang ditutup selepas pelajar dan gurunya diarah menjalani kuarantin di rumah kerana mempunyai kontak rapat dengan individu yang positif Covid-19.

"Ia membabitkan masing-masing satu kelas tingkatan lima dan tingkatan satu di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Pendamaran Jaya dan lima kelas tahun enam di Sekolah Kebangsaan (SK) Taman Sri Andalas.

"Bagaimanapun, kita telah melakukan proses sanitasi di semua kelas yang terlibat," katanya.

Izmi berkata, kuarantin selama 14 hari membabitkan pelajar dan guru SMK Pendamaran Jaya bermula pada Rabu lepas (30 Sept) manakala bagi SK Taman Sri Andalas pula pada Sabtu (3 Okt).

Beliau menambah, pihak sekolah juga sentiasa mengamalkan prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan dan mematuhi segala saranan Pejabat Kesihatan Daerah (PKD) bagi mengawal penularan pandemik Covid-19.

Selangor mencatatkan 232 kes aktif pada Selasa termasuk di Klang, yang merekodkan 77 kes sedang dirawat.

Situasi tersebut membuatkan ibu bapa mula menyuarakan kerisauan mereka. Mana tidaknya, kes sudahpun telah mula menular dalam kalangan guru dan pelajar sekolah. Namun, anak mereka masih menjalankan sesi pembelajaran seperti biasa.

Ada juga dalam kalangan ibu bapa mula mengambil cuti 'sendiri' dengan tidak menghantar anak mereka ke sekolah disebabkan kuatir dijangkiti virus pembunuh tersebut.

Mungkin pembelajaran secara virtual juga boleh dilaksanakan kembali memandangkan kes makin meningkat dari sehari ke sehari.

Sumber : Sinar Harian