Skip to main content
Muhyiddin akhirnya akui, dedah punca punca kes Covid-19 naik mendadak

PENINGKATAN kes Covid-19 yang ketara sejak beberapa hari lalu di negara ini turut berpunca daripada kurangnya kepatuhan terhadap Prosedur Operasi Standard (SOP) sewaktu kempen Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah, akhir September lalu.

Perkara itu diakui sendiri oleh Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin.

"Saya akui kempen pilihan raya di negeri Sabah juga menjadi antara punca peningkatan kes Covid-19. PRN Sabah terpaksa diadakan apabila Tuan Yang Terutama Yang di- Pertua Negeri Sabah membubarkan Dewan Undangan Negeri Sabah pada 30 Julai yang lalu.

"Ini sesuatu yang tidak dapat dielakkan kerana kita tertakluk kepada peruntukan di dalam Perlembagaan. Pilihan raya mesti diadakan dalam tempoh 60 hari selepas Dewan Undangan Negeri dibubarkan. Ia tidak boleh ditangguh," katanya ketika menyampaikan perutusan khas mengenai situasi semasa Covid-19 pada petang Selasa.

Muhyiddin juga sedar Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) telah menetapkan SOP tertentu bagi memastikan wabak Covid-19 tidak merebak akibat kempen pilihan raya diadakan tetapi malangnya ada SOP yang tidak dipatuhi.

"Misalnya penjarakkan sosial. Ketika saya turun berkempen di banyak tempat, saya lihat SOP mengenai penjarakkan sosial agak kurang dipatuhi. Walaupun hampir keseluruhan memakai pelitup muka, tetapi masih ramai yang duduk dekat-dekat dalam keadaan yang agak sesak," katanya.

Menurut Muhyiddin selain PRN Sabah, kes Covid-19 naik mendadak di negara ini juga sebahagian besarnya berpunca daripada pendatang tanpa izin dari negara jiran.

"Di negeri Sabah, sebahagian besarnya berpunca daripada pendatang tanpa izin dari negara jiran. Mereka ini sebahagiannya positif Covid 19. Apabila ditahan di pusat tahanan, mereka menjangkiti tahanan lain.

"Virus ini juga telah menjangkiti kakitangan pusat tahanan, ahli keluarga mereka dan komuniti setempat.

"Begitu juga di negeri Kedah. Virus ini sebahagian besarnya merebak dalam kalangan tahanan penjara selain terdapat kluster-kluster baharu dalam komuniti.

"Kerana itu bilangan mereka yang positif Covid-19 meningkat secara mendadak sejak beberapa minggu yang lalu," katanya.