Skip to main content
Lelaki Ini Bertindak Untuk Tutup Jalan Raya Dengan Pagar, Penduduk Tidak Puas Hati Kerana Situ Adalah Jalan Keluar Masuk

JEMPOL – Tindakan seorang pemilik sebuah rumah di Taman Sornam, Bahau menutup laluan di sebelah kediamannya menimbulkan rasa kurang senang penduduk setempat sehingga tular di laman sosial Facebook baru-baru ini.

Tindakan itu menyebabkan penduduk taman yang lain tidak boleh melalui jalan tersebut yang sebelum ini digunakan sebagai laluan keluar masuk antara lorong-lorong barisan rumah bersebelahan.

Pegawai Daerah Jempol, Syahrul Nizam Saleh berkata, pihaknya telah turun ke kawasan itu pada 21 dan 25 September lalu untuk membuat siasatan awal dan perbincangan bersama pemilik rumah yang terlibat.

Pemilik rumah bertindak menutup jalan dan memasang pagar selepas mendapat pengesahan sempadan daripada pihak JUPEM. (Gambar kecil: Syahrul Nizam Saleh)

Menurutnya, hasil siasatan mendapati jalan itu termasuk di dalam sempadan lot rumah tersebut.

"Pemilik menyedarinya selepas dia mengukur semula sempadan lot rumahnya.

"Pemilik rumah itu juga memaklumkan bahawa dia mula menutup jalan dan membina pagar setelah mendapat pengesahan daripada Pelan Hakmilik dan Pelan Akui yang telah disahkan oleh Jabatan Ukur dan Pemetaan Malaysia (JUPEM) bahawa sempadan sebenar rumahnya adalah termasuk jalan berkenaan.

"Rizab jalan sebenar yang telah diperuntukkan melalui projek perumahan asal adalah terletak di kawasan berbukit bersebelahan dengan jalan berkenaan," katanya.

Syahrul Nizam berkata, pihaknya juga telah memohon kerjasama JUPEM untuk membuat pengesahan rasmi dalam masa terdekat berkenaan pengukuran dan sempadan tanah tersebut.

Dalam pada itu, beliau berkata, berdasarkan penjelasan ini, pihaknya ingin menegaskan perkara yang perlu diambil kira adalah pemilik tanah berhak membuat sebarang binaan dan memagar kawasan rumahnya selagi tidak melebihi sempadan tanah rumah dan tertakluk kepada kelulusan pelan bangunan oleh Majlis Perbandaran Jempol.

"Dalam hal ini juga kita tidak boleh mengambil sebarang tindakan kerana tiada sebarang pelanggaran undang-undang yang dilakukan oleh pemilik tanah.

"Oleh kerana itu, jalan sedia ada bukan lagi jalan awam yang boleh dilalui oleh orang awam dan sebarang penggunaan jalan tersebut adalah tertakluk kepada kebenaran daripada pemilik tanah.

"Pada masa ini, kita berpandangan tiada jalan baru yang akan dibina bagi menggantikan jalan sedia ada kerana terdapat banyak alternatif jalan lain yang boleh digunakan oleh penduduk selain implikasi kewangan untuk pengambilan tanah atau pembinaan jalan baru adalah tinggi," katanya.

Sumber : Sinar Harian