Skip to main content
Ebit Lew sudah mohon maaf kpd UPSI, Ini reaksi Naib Canselor

IPOH – Penceramah terkenal, Ebit Lew memohon maaf kepada pentadbiran Universiti Sultan Idris Shah (UPSI) berkaitan isu bantuan yang diberikan tidak mengikut prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan.

Permohonan maaf tersebut menerusi hantaran di Facebooknya semalam selepas dihubungi oleh Naib Canselor UPSI supaya beliau membuat permohonan maaf secara terbuka.

Beliau berkata, bas awam percuma tersebut disediakan untuk membantu membawa pelajar-pelajar pulang ke kampung masing-masing sambil memberitahu beliau kini terpaksa menangguhkan perjalanan 20 bas yang disewa untuk pelajar dari universiti lain untuk pulang ke destinasi.

"Saya minta maaf saya salah. Saya cuma membantu. Ramai pelajar dah balik dan ada yang keluarga ambil. Saya cuma siapkan macam bas awam. Syukur bas yang bergerak pun dah sampai selamat.

"Biasa naik bas bayar tapi kali ini percuma dan lebih tersusun dan tak perlu nak ke hentian bas dan naik kereta api. Saya tangguhkan 20 bas sehingga diberi kelulusan," katanya.

Menurutnya, inisiatif tersebut dilakukan setelah mendengar keluhan daripada pelajar yang tidak mampu pulang ke kampung halaman masing-masing.

Kelmarin, Ebit Lew menerusi hantaran di Facebook memaklumkan pihaknya mengambil inisiatif menyewakan bas ke pantai timur untuk pelajar UPSI yang mahu pulang ke destinasi masing-masing.

Menurutnya, selain UPSI beberapa lagi bas akan disewa untuk penuntut dari beberapa universiti lain yang memerlukan bantuan bagi membawa mereka pulang semula ke kampung selepas kerajaan memutuskan pembelajaran di institut pengajian tinggi dibuat secara dalam talian.

Kenyataan rasmi MPP UPSI yang dikeluarkan hari ini meminta semua pihak yang ingin membantu mematuhi SOP yang ditetapkan berikutan penularan pandemik Koronavirus (Covid-19). Sementara itu, Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) Universiti Sultan Idris Shah (UPSI) mengalu-alukan sebarang bentuk bantuan kepada pelajar-pelajar di kampus berkenaan namun meminta semua pihak terlibat mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan berikutan penularan pandemik koronavirus (Covid-19).

MPP dalam satu kenyataan memaklumkan, pihak universiti, Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) dan negara akan dipertanggungjawabkan jika berlaku sebarang kejadian tidak diingini.

"Kami amat terbuka dan mengalu-alukan bantuan yang dihulurkan oleh mana-mana pihak luar sana yang ingin menghulurkan bantuan kepada pelajar UPSI namun sebarang bantuan yang ingin dilaksanakan perlu mendapat kebenaran daripada pihak pengurusan universiti yang secara langsung mendapat kebenaran daripada KPT dan Majlis Keselamatan Negara (MKN)," katanya menerusi satu kenyataan rasmi semalam.

Bagaimanapun, MPP UPSI turut merakam penghargaan kepada pendakwah terkenal, Ebit Lew yang menggerakkan usaha menghantar pelajar pulang ke kampung tetapi menyifatkan usaha murni tersebut perlu disusuli dengan pematuhan SOP serta garis panduan ditetapkan agar tidak menimbulkan sebarang masalah kepada pelajar.

"Perkara ini perlu dilakukan kerana dalam keadaan pandemik Covid-19 ini, kita tidak mahu sebarang perkara-perkara negatif berlaku terutamanya hal-hal yang berkenaan dengan wabak itu.

"Selain itu, ia juga melibatkan keselamatan pelajar sepanjang perjalanan mereka pulang ke kampung atau ke destinasi masing-masing," katanya.

Tidak Marah, VC UPSI Mula Bersuara

Pihak pengurusan Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) tidak marah dengan tindakan pendakwah terkenal, Ustaz Ebit Lew menyediakan bas untuk menghantar pelajar universiti itu pulang ke kampung masing-masing.

Naib Canselor UPSI, Prof. Datuk Dr. Mohammad Shatar Sabran berkata, Ebit Lew bagaimanapun perlu memaklumkan perkara itu kepada pihak pengurusan universiti terlebih dahulu dan mengikuti prosedur ditetapkan.

Ebit Lew Tak Maklumkan Kepada Pihak Universiti

"Saya dan pihak pengurusan universiti tidak dimaklumkan. Kami hanya mengetahuinya melalui media sosial. Saya menghubungi Ebit Lew menjelaskan situasi dengan baik dan beliau memohon maaf. Bagaimanapun saya kata jangan minta maaf kepada saya, tetapi minta maaf kepada masyarakat.

"Beliau perlu faham pelajar dibawah tanggungjawab universiti dan jika berlaku perkara tidak diingini seperti kemalangan, dijangkiti penyakit atau tidak sampai ke kampung masing-masing, pihak universiti yang akan dipertanggungjawabkan," katanya ketika dihubungi Kosmo! di sini hari ini.

Mohammad Shatar berkata, Ebit Lew perlu juga memahami bahawa pihak pengurusan universiti perlu mematuhi prosedur yang ditetapkan oleh Kementerian Pendidikan dan Majlis Keselamatan Negara dalam proses penghantaran pulang pelajar.

Dalam pada itu Timbalan YDP MPP UPSI telah meminta maaf secara peribadi 

"If you realise your responsibility, you will realise your destiny"

Sememangnya perjalanan sebagai perwakilan pelajar ini memerlukan kekuatan dalam segenap aspek.

Bahkan hari ini, kekuatan itu diuji dengan perkara yang tidak pernah terjangkau dek akal.

Sebagai manusia, baik siapapun dan dimanapun posisinya, ada amanah dan tanggungjawab yang besar sedang dipikul kita semua. Kerana itu, janganlah sesekali membelakangkan atau merasa diri lebih dari sesiapa. Secara peribadi, saya Muhammad Nur Naim bin Abdul Rehman, selaku Timbalan Yang Dipertua Majlis Perwakilan Pelajar UPSI sidang 2019/2020 ingin memohon maaf kepada Ustaz Ebit Lew, atas kenyataan yang dikeluarkan pihak kami pada pagi ini.

Semoga Ustaz dapat meneruskan kerja amal yang sedang dijalankan dengan lancar, serta saya doakan semoga Ustaz Ebit Lew diberikan kekuatan untuk membantu lebih ramai insan yang memerlukan di luar sana, in syaa Allah.

"… dan janganlah kamu menjatuhkan dirimu sendiri ke dalam kebinasaan, dan berbuat baiklah, karena sesungguhnya Allah menyukai orang-orang yang berbuat baik" -2:195

Wallahualam.

Yang Menjalankan Amanah, Muhammad Nur Naim bin Abdul Rehman Timbalan Yang Dipertua Majlis Perwakilan Pelajar UPSI 2019/2020