Skip to main content
Dua Pelajar Sekolah Rendah Disahkan Positif C0V1d19, Ini Tindakan Susulan Seterusnya

Kuala Lumpur: Dua murid perempuan Tahun Lima dan Tahun Empat Sekolah Kebangsaan (SK) Bangsar, dekat sini, disahkan positif Covid-19, hari ini.

Yang Dipertua Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) sekolah itu Mohd Yazid Mohd Yasin berkata, pihak sekolah dimaklumkan perkara terbabit oleh penjaga dan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) kira-kira jam 10.30 pagi tadi.

Menurutnya, pihak sekolah memaklumkan kepada PIBG dan petugas KKM turut datang ke sekolah untuk melaksanakan ujian saringan kepada murid dan guru membabitkan dua kelas berkenaan.

Bagaimanapun, katanya, tiada arahan penutupan sekolah setakat ini, namun sesi persekolahan petang tadi ditangguhkan.

"Petugas KKM menjalankan 'swab test' (ujian calitan) bermula jam 2 petang tadi kepada kira-kira 80 murid dari dua kelas Tahun Empat dan Lima, serta 26 guru yang dikenal pasti sebagai kontak rapat dua murid yang positif Covid-19 itu.

"Petugas KKM juga dijangka akan menjalankan sanitasi di kelas dan lokasi berkaitan. Namun, pihak sekolah memang melakukan sanitasi setiap hari.

"Buat masa ini, tiada arahan penutupan sekolah, dan pihak pentadbir juga tiada kuasa untuk menutup sekolah, sebaliknya perlu tunggu arahan daripada Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) dan Kementerian Pendidikan," katanya kepada BH, hari ini.

Difahamkan, dua murid perempuan itu mendapat jangkitan daripada ahli keluarga mereka selepas pulang daripada menghadiri kenduri, baru-baru ini.

Mohd Yazid mengakui majoriti ibu bapa SK Bangsar, khususnya yang anak mereka menjadi kontak rapat kes positif itu, bimbang jika sesi persekolahan terus berjalan seperti biasa.

"Saya hadir ke sekolah tadi, dan ramai ibu bapa maklumkan bimbang dengan situasi semasa, malah ada yang menangis apabila melihat anak mereka dipakaikan gelang berwarna.

"Pihak PIBG berpandangan PPD dan kementerian wajar menangguhkan sementara sesi persekolahan antara seminggu atau dua minggu, sementara menunggu keputusan ujian murid yang menjadi kontak rapat," katanya.

Buat masa ini, kata Mohd Yazid, PIBG SK Bangsar menyarankan ibu bapa yang tidak mahu menghantar anak ke sekolah kerana bimbang dengan isu keselamatan boleh berbuat demikian, namun perlu menghantar surat kepada pihak sekolah.

"Surat ini penting kerana jika PPD bertanya mengenai jumlah kehadiran yang tidak memberangsangkan, sekolah boleh tunjukkan surat itu," katanya.

Ketiadaan arahan untuk menutup SK Bangsar walaupun terdapat dua kes positif Covid-19 menimbulkan persoalan berikutan ada sekolah yang hanya mengesan satu kes positif dalam kalangan pelajar diarah tutup sebelum ini.

Antaranya Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Mutiara di Labuan, yang diarah tutup sementara untuk proses sanitasi selepas seorang pelajarnya disahkan positif Covid-19, hari ini.

SK Kompleks Seberang Takir dan SMK Kompleks Seberang Takir pula diarah tutup pada 5 Oktober lalu, susulan beberapa murid dikatakan mempunyai kontak rapat dengan seorang kakitangan Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA) yang disahkan positif Covid-19, Sabtu lalu.

Kredit:HMETRO

Newest Post