Skip to main content
Coretan Rindu Lelaki Ini Setelah Kehilangan Isteri Dua Tahun Lalu Undang Sebak

Tidak dapat dibayangkan rasanya jika kehilangan orang tersayang buat selama-lamanya terutama isteri yang selama ini menjadi suri di hati.

Pun begitu, hidup masih perlu dijalani dengan cekal. Sama dengan perkongsian lelaki ini yang telah kehilangan isterinya sejak dua tahun lalu.

Kini tabah membesarkan anak-anak, Khairul Abdullah menerusi kiriman di Facebook miliknya berkongsi mengenai kehidupan yang dilalui setelah isterinya meninggal dunia disebabkan oleh jangkitan kuman dalam darah yang menyebabkan kegagalan organ.

Ikuti perkongsiannya di bawah ini.

Aku buka almari baju dan tengok semua baju arwah isteri aku masih di tempat yang sama. Sudah lebih 2 tahun dia pergi.

Dalam laci semua barangnya masih di tempat yang sama. Hampir semua benda yang dia tinggalkan masih berada di tempat yang sama. Aku tak usik, aku tak ubah. Sesekali aku sentuh, sesekali aku ambil dan cium.

Keadaan masih sama dalam bilik ini. Baju dan begnya masih bergantung di tempat yang sama. Barang kemasnya, barang makeup dan segala perfumenya semuanya di tempat yang sama. Kenapa? Entah. Aku tak tahu. Aku suka begitu.

Aku suka keberadaan semua benda tersebut di tempat asalnya. Cukup untuk buat aku merasa sebahagian dirinya masih ada bersama aku dan anak-anak. Cukup untuk buat aku rasa tidak ditinggalkan.

Aku tak move on? Entah.

Aku tak tahu atau faham apa makna move on itu. Adakah perlu melupakan? Apakah perlu buang semuanya dan lupakan segalanya? Jika tidak, jika masih menyimpan dan mengingat, adakah aku tidak move on? Entahlah.

Selepas isteri dikebumikan, aku teruskan tanggungjawab aku besarkan anak-anak. Hidup aku dan anak-anak ok sahaja. Aku tak abaikan sesiapa, aku hidup seperti biasa. Tidaklah aku tertekan, tidaklah aku menderita, tidaklah aku jadi gila.

Aku tak move on? Move on bagi aku adalah meneruskan hidup. Alhamdulillah, aku hidup bahagia dengan anak-anak. Cuma kasih sayang dan rindu aku tak boleh aku hilangkan begitu sahaja.

Lagipun memang aku memilih begitu. Memilih untuk terus mengingat dan merindu. Kau tahu, Sentiasa ada setitis manis dalam setiap rindu yang pahit. Jadi, aku gagahkan demi yang setitis itu. #superdaddy

Sumber: Khairul Abdullah via Siakap Keli