Skip to main content
Zamani Buat Luahan Beritahu Apa Yang Dialaminya Sebelum Terima Berita Sedih Semalam

Kuala Lumpur "Saya cakap pada dia (arwah kakak) saya tak nak pergi show apabila melihat keadaannya agak teruk.

"Tapi, dia kata jangan kerana dah janji dengan orang. Nanti kena saman dan lagi pun ia babitkan karier saya," kata penyanyi Zamani Slam mengulas perbualan akhir dengan kakaknya, Allahyarham Zuraidah Ibrahim pada malam kelmarin.

Zuraidah, 53, menghembuskan nafas terakhir akibat jangkitan kuman dalam darah dan komplikasi buah pinggang di Hospital Pakar Al Islam, Kampung Baru, jam 1 tengahari, semalam.

Zamani yang sepatutnya menjayakan persembahan Konsert Mini Bersama Zamani & Ameng di sebuah hotel di Pulang Pinang, semalam berkata, dia sebenarnya berat hati untuk ke sana.

"Perasaan itu amat berat. Saya dan isteri (Nur Juliana Abdul Rani) bertolak pun jam 9 pagi. Ketika sampai di Bukit Gantang, saya terima satu panggilan telefon yang dijawab oleh isteri.

"Dia diam selepas itu seperti sembunyikan sesuatu. Melihatkan keadaannya yang lain macam, saya bertanya perkara sebenar dan barulah dia jawab.

"Saya teruskan perjalanan ke lokasi persembahan untuk jelaskan kepada penganjur dan buat video. Mereka pun faham situasi saya," katanya kepada Harian Metro.

Menurutnya, untuk memandu kereta pulang semula ke Kuala Lumpur agak mustahil dan penganjur membantu membelikan tiket penerbangan pulang pada jam 5.45 petang.

"Kami bawa kakak ke hospital pada Khamis lalu untuk buat proses 'dressing' bahagian kakinya. Keadaannya ketika itu lemah dan dia dimasukkan ke Unit Rawatan Rapi (ICU).

"Sejak itu, saya pastikan setiap malam pergi menjenguk dia. Saya difahamkan kakak meninggal sewaktu sedang buat rawatan dialisis.

"Siapa yang tak sedih kehilangan kakak. Sekarang tinggal saya dengan abang Zulfazli dan kami pun masing-masing tak sihat," katanya.

Zamani bagaimanapun berkata, hidup perlu diteruskan dan dia bersyukur sempat pulang untuk menyelesaikan urusan pengebumian kakaknya.

Jenazah Zuraidah yang juga ibu penyanyi Zynakal, selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Taman Keramat, Kuala Lumpur pada jam 9 malam.

Sumbe hmetro