Skip to main content
Warisan Plus kalah mengejut dalam PRN Sabah, ini kata2 Tun M kepada semua

Presiden Warisan Shafie Apdal masih calon perdana menteri bagi pembangkang, kata Dr Mahathir Mohamad susulan kekalahan Warisan Plus dalam PRN Sabah semalam.

Bekas penyandang menteri itu berkata demikian ketika ditanya jika Shafie masih relevan sebagai calon perdana menteri susulan perkembangan terbaru itu.

"Dia masih (salah) satu dari calon," kata pengerusi penaja Pejuang di Langkawi, seperti dipetik laporan The Malaysian Insight.

Video kenyataan itu dimuat naik portal tersebut di Youtube.

Diminta mengulas berkenaan perkara itu, Mahathir meluahkan rasa kecewa kerana dia berharap pengundi di Sabah akan menolak Perikatan Nasional (PN) dan sekutunya.

Bagaimanapun, anggota parlimen Langkawi itu tetap mengucapkan tahniah kepada Gabungan Rakyat Sabah (GRS) dan berharap keputusan itu akan membawa ke arah kestabilan negeri itu.

Harap Kerajaan Sabah lebih satabil

"Saya ucap tahniah pada mereka yang menang (PRN Sabah). Saya harap dengan ini keadaan di Sabah akan jadi lebih stabil dan tiada lagi percubaan untuk rampas kerajaan," katanya.

Mahathir merujuk percubaan rampasan kuasa oleh bekas ketua menteri Sabah Musa Aman pada Julai lalu, dengan menarik sokongan beberapa Adun penyokong kerajaan untuk menolak Shafie.

Rancangan itu gagal selepas Shafie dengan segera mencadangkan kepada Yang Dipertua Negeri Sabah Juhar Mahiruddin agar Dewan Undangan Negeri dibubarkan, justeru membawa kepada PRN.

Keputusan PRN semalam bagaimanapun tidak menyebelahi Warisan Plus yang hanya meraih 32 daripada 73 kerusi yang dipertandingkan.

GRS yang merangkumi BN, Perikatan Nasional (PN) dan Parti Bersatu Sabah (PBS) mendapat 38 kerusi, manakala tiga kerusi diraih calon bebas.

Tun M Kecewa

"(Sudah tentu) saya kecewa," kata Mahathir ketika ditanya jika dia kecewa dengan keputusan itu.

"Saya harap rakyat Sabah tolak orang yang menggunakan cara tidak betul untuk ambil alih kerajaan.

"Mereka dengan sengaja runtuhkan kerajaan dengan membayar Adun untuk lompat (tinggalkan parti).

"Kalau ini jadi satu amalan di Malaysia, tamatlah demokrasi kerana mereka yang ada duit boleh beli mana-mana kerajaan," katanya lagi.

Calon KM Sabah masih buntu

Semalam, Gabungan Rakyat Sabah (GRS) – merangkumi BN, Perikatan Nasional (PN) dan Parti Bersatu Sabah (PBS) – menang dalam pilihan raya negeri selepas meraih 38 daripada 73 kerusi DUN.

GRS juga mendapat sokongan tiga Adun bebas, menjadikannya memiliki kelebihan sembilan kerusi berbanding Warisan Plus yang diketuai Mohd Shafie Apdal.

Namun, sehingga kini gabungan itu belum ada kata putus berhubung siapa yang akan menjadi ketua menteri baru.

PN memenangi kerusi terbanyak dalam gabungan GRS, dengan Bersatu mendapat 11 kerusi dan Parti Solidariti Tanah Airku (Star) pula enam kerusi.

Bagaimanapun Umno berpendapat walaupun BN hanya memenangi 14 kerusi, kesemuanya disumbangkan oleh Umno – menjadikannya parti dengan kerusi terbanyak dalam gabungan tersebut.

Kedua-dua pihak mengatakan berhak untuk menentukan calon ketua menteri baru.

Satu lagi anggota GRS iaitu Parti Bersatu Sabah (PBS) pula menang tujuh kerusi.