Skip to main content
Walaupun Kapal Warisan karam di Sabah, tapi ada keputusan luar jangkaan

Keadaan sugul dapat dirasai di kediaman Presiden Warisan, Shafie Apdal di Likas susulan Gabungan Rakyat Sabah mengumumkan kemenangannya dalam PRN kali ini.

GRS mengatakan keputusan tidak rasmi menunjukkan mereka telah menang 37 daripada 73 kerusi – iaitu majoriti mudah.

Setakat ini, Warisan Plus menang 20 kerusi sementara tiga lagi oleh calon lain.

Shafie dijadual membuat sidang media pada pukul 9 malam di sini tetapi setakat ini belum bertemu dengan wartawan yang berkumpul di luar rumahnya.

Kira-kira 50 penyokong turut berkumpul di luar.

Bung Isytihar Kemenangan, Ucap Terima Kasih Pada Pengundi

Ketua Barisan Nasional Sabah, Bung Moktar Radin mengisytiharkan kemenangan dan mendakwa Gabungan Rakyat Sabah (GRS) memperoleh majoriti mudah untuk membentuk kerajaan.

"Kami mengucapkan terima kasih kepada rakyat Sabah yang mahukan perubahan," katanya di ibu pejabat Umno Sabah di Kota Kinabalu.

Pengisytiharan oleh Bung diadakan secara berasingan dengan yang dibuat oleh Setiausaha Agung Bersatu Hamzah Zainuddin, yang bersama pemimpin Perikatan Nasional di Hotel Magellan.

Setakat ini, Suruhanjaya Pilihan Raya belum mengumumkan keputusan rasmi.

Luar jangkaan – Tiga calon Bebas, satu calon Usno menang

PRN Sabah penuh kejutan tetapi tiada yang mengejutkan apabila empat calon bukan pilihan berjaya menang kerusi DUN.

Antara mereka, yang paling terkenal adalah Pandikar Amin Mulia, yang menang kerusi Pintasan atas tiket United Sabah National Organisation (Usno).

Masiung Banah pula menang kerusi Kuamut untuk kali kelima tetapi kali ini menang sebagai calon bebas.

Bekas MP Tenom Rubin Balang menang kerusi Kemabong sebagai calon bebas. Sebelum ini dia merupakan bekas ahli Umno dan menyertai Bersatu sekejap.

Bekas timbalan ketua cabang PKR Kudar Rudy Awah menang kerusi Pitas sebagai calon bebas. Dia keluar PKR pada Julai lalu.

Hampir semua calon Bersatu dari Umno menang

Cubaan Warisan Plus melabelkan wakil rakyat Umno yang berpaling tadah dan menyertai Bersatu tidak membuahkan hasil.

Bersatu yang menurunkan lapan Adun yang berpaling tadah dari Umno sebagai calon parti itu menyaksikan semua mereka kecuali Abd Muis Picho di Sebatik yang memenangi pilihan raya hari ini.

Tujuh Adun yang menang itu ialah Hajiji Mohd Noor (Sulaman), Ghulam Haidan Khan Bahadar (Kawang), Mohd Arifin Mohd Arif (Membakut), Isnin Aliasnih (Klias), Limus Jury (Kuala Penyu), Masidi Manjun (Karanaan) dan Nizam Abu Bakar (Apas).

Calon ketua menteri: Kita akan bincang cepat – Bung

Pengerusi Badan Perhubungan Umno Negeri Sabah Bung Moktar Radin berkata bahawa BN Sabah akan berbincang dengan Perikatan Nasional (PN) berhubung calon ketua menteri kerajaan baru negeri Sabah.

"Kita akan bincang secepat mungkin (lantikan ketua menteri)," katanya kepada pemberita ketika ditanya mengenai pelantikan ketua menteri baru Sabah.

Ketika tempoh berkempen sebelum ini, BN dan PN sama-sama membayangkan calon ketua menteri daripada parti mereka.

Bung yang menang kerusi DUN Lamag, juga berkata mereka akan mengamalkan semangat setiakawan dalam menubuhkan kerajaan baru.

"Saya cukup yakin akan dapat kita wujudkan semangat setiakawan.

"Masalah (hanya) akan timbul apabila kita timbulkan masalah," katanya lagi ketika disoal adakah dia rasa akan timbul masalah dalam penubuhan kerajaan negeri bersama parti komponen lain.

Terdahulu, Gabungan Rakyat Sabah (GRS) membabitkan kerjasama Perikatan Nasional (PN), BN dan Parti Bersatu Sabah (PBS) berjaya merampas Sabah daripada Warisan.

Berdasarkan kiraan tidak rasmi Malaysiakini setakat ini, gabungan itu berjaya memenangi sekurang-kurangnya 37 daripada 73 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN).