Skip to main content
Selepas kekalahan mengejut Warisan, Ini reaksi Bakal PM Malaysia

PKR menghormati keputusan dan pilihan rakyat Sabah pada Pilihan Raya Negeri (PRN) semalam, yang menyaksikan Gabungan Rakyat Sabah (GRS) membentuk kerajaan baharu, di negeri itu.

Presidennya, Anwar Ibrahim berkata walaupun negara dalam tempoh fasa Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) susulan penularan Covid-19, rakyat Sabah telah melaksanakan tanggungjawab dalam proses demokrasi tersebut.

Ketua Pembangkang itu turut berharap proses pembentukan kerajaan negeri dapat dikemudi dengan aman, bijaksana dan penuh hikmah, selain merakamkan ucapan penghargaan kepada gabungan Warisan Plus.

"Tahniah kepada rakan-rakan Warisan Plus, khususnya Shafie Apdal dan Parti Warisan Sabah yang memenangi 23 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN), DAP memenangi enam kerusi dan UPKO (Pertubuhan Kinabalu Progresif Bersatu) berjaya memenangi satu kerusi," katanya dalam kenyataan di Facebooknya, hari ini.

Anwar turut merakamkan ucapan tahniah kepada Pengerusi PKR Sabah Christina Liew, atas kejayaan PKR Sabah mempertahankan dua kerusi yang dimenangi pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) selain peningkatan hampir dua kali ganda peratus undi buat PKR di DUN Sook berbanding undi pada 2018.

Keputusan PRN Sabah semalam menyaksikan hanya dua daripada tujuh calon PKR menang, iaitu Peto Galim yang memperoleh 8,586 undi di DUN Inanam dan Liew (7,794 undi) di DUN Api-Api.

Anwar yang juga Ahli Parlimen Port Dickson juga memohon semua pihak termasuk pimpinan parti akur dengan arahan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) untuk membuat saringan dan kuarantin bagi mereka yang baru pulang dari Sabah dalam usaha mengekang penularan Covid-19.

Pada pilihan raya negeri itu, GRS yang terdiri daripada Perikatan Nasional (PN), Barisan Nasional (BN) dan PBS memenangi 38 kerusi DUN, manakala Warisan Plus (Warisan, DAP, Amanah, UPKO dan PKR) memperoleh 32 kerusi DUN. Baki tiga kerusi DUN Sabah dimenangi calon bebas.

Menang PRN Sabah bukti rakyat terima pimpinan PM – Tuan Ibrahim

Timbalan Presiden PAS, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man menyifatkan kemenangan Gabungan Rakyat Sabah (GRS) dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah, semalam membuktikan bahawa rakyat menerima kepimpinan Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Menurut laporan Harian Metro, beliau yang juga Menteri Alam Sekitar dan Air berkata, bantuan berterusan untuk rakyat oleh Perdana Menteri sepanjang 'berperang' dengan Covid-19 diterima baik selain ditunjukkan menerusi PRN.

"Saya selaku kepimpinan PAS mengucapkan tahniah kepada GRS yang memenangi PRN dengan cemerlang hasil Muafakat Nasional (MN) dan Perikatan Nasional (PN).

"Apa yang penting kini, parti yang menang perlu pandang ke hadapan dan duduk semeja bagi merancang pembangunan rakyat di Sabah. "PAS walaupun tidak bertanding, kita tetap turunkan jentera dan hampir kesemua kepimpinan parti turun padang bagi membantu parti rakan mencapai kemenangan," katanya hari ini. Tambah beliau, kemenangan tersebut juga menunjukkan petunjuk baik kepada gabungan parti Kerajaan Persekutuan bagi berdepan Pilihan Raya Umum (PRU) nanti.

Bagaimanapun, beliau mengakui itu bukan jaminan untuk berada dalam kedudukan selesa kerana situasi politik sentiasa mempunyai cabaran.

Sumber : Harian Metro (Nor Fazlina Abdul Rahim)