Skip to main content
Hajiji bakal angkat sumpah jawatan KM Sabah. Sekali Penyokong mula berkumpul di kediaman rasmi Shafie Apdal

Pengerusi Bersatu Sabah Hajiji Mohd Noor petang ini menerima surat jemputan untuk menghadri istiadat mengangkat sumpah jawatan ketua menteri Sabah.

Jabatan Penerangan Sabah berkata, Hajiji tiba di Istana Negeri kira-kira jam 4 petang tadi untuk menerima surat tersebut daripada Yang di-Pertua Negeri, Juhar Mahiruddin.

"Sejurus selesai penyampaian surat jemputan, Hajiji turut menghadiri raptai istiadat angkat sumpah yang akan berlangsung di dewan istiadat Istana Negeri pada jam 10 pagi esok," kata kenyataan itu.

Turut hadir pada majlis penyerahan surat jemputan istiadat angkat sumpah itu ialah Setiausaha Sulit Tuan Yang di-Pertua Negeri, Abinan Asli.

Hajiji, 65, akan menjadi ketua menteri ke-16 Sabah selepas Gabungan Rakyat Sabah (GRS) memperoleh kerusi majoriti dalam pilihan raya negeri yang diadakan pada 26 Sept lalu.

Dengan penyerahan surat berkenaan, kemelut mengenai siapa ketua menteri baru Sabah dijangka akan berakhir.

Sebelum ini dua nama dikemukakan kepada Juhar untuk dipilih. Selain Hajiji, nama Pengerusi Umno Sabah, Bung Moktar Radin, turut dikemukakan.

Bagaimanapun GRS mencapai kata sepakat untuk mencalonkan Hajiji sebagai ketua menteri.

Untuk rekod Sabtu lalu GRS – yang menggabungkan BN, Perikatan Nasional dan Parti Bersatu Sabah (PBS) – memenangi 38 daripada 73 kerusi DUN yang dipertandingkan. Ia juga mendapat sokongan tiga Adun bebas.

Warisan Plus pula meraih 32 kerusi.

Penyokong berkumpul di kediaman rasmi Shafie Apdal

KOTA KINABALU: Penyokong berkumpul di kediaman rasmi Presiden Parti Warisan Sabah (WARISAN), Datuk Seri Mohd Shafie Apdal di Rumah Yayasan Sabah di sini, sejak pagi tadi.

Tinjauan mendapati sekumpulan penyokong bekas Ketua Menteri itu dan pengamal media berkumpul di perkarangan Rumah Yayasan Sabah.

Dipercayai semua pemimpin tertinggi termasuk Mohd Shafie masih sedang berada di dalam Rumah Yayasan Sabah namun masih belum ada sebarang perincian mengenai pertemuan terbabit.

Tengah hari tadi, Pengerusi DAP Sabah, Datuk Frankie Poon Ming Fung dan Pengerusi PKR Sabah, Datuk Christina Liew dilihat meninggalkan Rumah Yayasan Sabah.

Terima kasih banyak atas sokongan' – Mohd Shafie

Kota Kinabalu: Presiden Parti Warisan Sabah (Warisan), Datuk Seri Mohd Shafie Apdal berterima kasih kepada semua pihak yang menyokong parti diterajuinya.

Bekas Ketua Menteri Sabah itu berkata, beliau menghargai sokongan diberikan dan menyatakan akan terus berkhidmat kepada rakyat di posisi sebagai pembangkang.

"Terima kasih banyak atas semua sokongan yang diberikan oleh rakyat Sabah. Kita akan terus berkhidmat," katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita di perkarangan kediaman rasminya di Rumah Yayasan Sabah di sini, hari ini.

Sementara itu, Mohd Shafie juga enggan mengulas lanjut ketika diminta mengulas pelantikan Datuk Seri Hajiji Noor sebagai Ketua Menteri Sabah baharu.

Zahid hormat keputusan Umno Sabah isu pelantikan ketua menteri

Pengerusi BN Ahmad Zahid Hamidi berkata dia menghormati autonomi Umno Sabah untuk sepakat dengan parti komponen Gabungan Rakyat Sabah (GRS) lain dalam mencalonkan Hajiji Mohd Noor dicalonkan sebagai ketua menteri baru.

Ini meskipun Zahid yang juga presiden Umno sebelum ini bertegas bahawa jawatan ketua menteri Sabah seharusnya diserahkan kepada Umno sebagai parti individu yang memenangi jumlah kerusi DUN terbesar.

"Saya dimaklumkan oleh Pengerusi Umno Sabah Bung Moktar Radin setelah rundingan dibuat di kalangan Adun-Adun GRS yang menang, akhirnya bersepakat untuk mencalonkan Hajiji Mohd Noor, demi memastikan kepentingan rakyat Sabah dapat segera diperjuangkan setelah diabaikan kerajaan Warisan sebelum ini.

"Saya hormati keputusan tersebut atas dasar semangat autonomi Umno Sabah yang telah pun dipersetujui bersama.

"Semoga kerajaan baharu yang dibentuk ini dapat segera memberi tumpuan kepada pelbagai agenda untuk membela kepentingan rakyat Sabah sebagaimana yang termaktub dalam Akujanji GRS," katanya dalam kenyataan media hari ini.

Pilihan raya negeri Sabah Sabtu lalu menyaksikan GRS tampil sebagai pemenang setelah menawan 38 kerusi.

Sementara Warisan Plus sekadar memperoleh 32 kerusi. Tiga kerusi lain dimenangi calon bebas.

Hajiji, yang juga ketua Bersatu Sabah sebelum ini dicadangkan oleh Presiden Bersatu Muhyiddin Yassin untuk menjadi ketua menteri.

Bung, yang menang di kerusi Lamag dan juga merupakan ahli parlimen Kinabatangan dilihat calon utama BN untuk jawatan ketua menteri.

Kebuntuan calon ketua menteri GRS berakhir apabila dalam sidang media awal hari ini Hajiji mengumumkan dia dan rakan sekutunya dalam gabungan berkenaan sepakat mencalonkan dirinya sebagai ketua menteri.

Sidang media di Kota Kinabalu itu turut dihadiri Bung Moktar Radin.

Susulan itu, Jabatan Penerangan Sabah memaklumkan majlis angkat sumpah jawatan ketua menteri Sabah yang baru dijadual bermula pukul 10.30 pagi esok di Istana Negeri Sabah.