Skip to main content
GRS istihar boleh bentuk kerajaan, sekali ada PLOT TWIST

KUALA LUMPUR – Gabungan Rakyat Sabah (GRS) sudah melepasi majoriti mudah untuk membentuk kerajaan baharu.

Perkara itu dikongsikan oleh Setiausaha Agung Barisan Nasional, Tan Sri Annuar Musa.

Mana-mana parti yang mendapat sekurang-kurangnya 37 kerusi akan memenangi pilihan raya ini.

Berikutan 'plot twist' DUN Sekong, kini terdapat pertindihan di DUN Inanam. PBS dan PKR kedua-duanya mengisytiharkan calon mereka sebagai pemenang Inanam. Setakat 10.29 malam, SPR belum lagi umumkan keputusan rasmi SPR.

PLOT TWIST!

Menurut SPR, DUN Sekong dimenangi oleh Warisan, dan *bukan BN*(seperti yang diumumkan oleh GRS secara tidak rasmi sebentar tadi). Ini bermakna setakat 10 malam, GRS belum mendapat 37 kerusi yg diperlukan utk menubuhkan kerajaan.

'Yang Percaya Yang Dalam TV, Itu Wayang Sahaja' – Calon Warisan DUN Darau

Calon Warisan untuk DUN Darau, Azhar Matussin yakin Warisan Plus masih mempunyai peluang untuk menang memandangkan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) masih belum mengumumkan keputusan rasmi PRN Sabah.

Sebelum itu beliau mempersoalkan mengapa SPR masih belum mengeluarkan keputusan rasmi di kerusi yang ditandinginya.

Belia mendakwa telah menang di 6 daripada 8 pusat daerah mengundi (PDM) di DUN Darau. Ketika ini, keputusan tidak rasmi menunjukkan UMNO memenangi DUN Darau.

Kalah negeri, Warisan kekal di Semporna

SEMPORNA – Presiden Parti Warisan Sabah (Warisan) mengekalkan kerusi yang disandangnya, iaitu Dewan Undangan Negeri (DUN) Senallang.

Datuk Seri Mohd Shafie Apdal memperoleh 6,363 undi jauh di hadapan pencabarnya, Norazman Utoh Nain, yang mendapat 1,732 undi.

Ahli Parlimen Semporna itu mencatat majoriti 4,631 undi.

Calon lain, Madjalis Lais (PCS) mendapat 52 undi, Mohammad Ramzan Abdul Wahab (USNO) pula mendapat 61 undi dan Ahmad Datu Ali Alam (Parti Perpaduan Rakyat Sabah) mendapat 39 undi.

Zahid serah Adun BN Sabah tentukan ketua menteri

Presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi menyerahkan kepada Adun BN Sabah untuk menentukan calon ketua menteri selepas menerima perkenan Yang di-Pertua Negeri Sabah.

Pada sidang media yang disiarkan di Facebooknya, Zahid berkata Umno dan BN Sabah diberi kuasa autonomi untuk menentukan perkara itu.

Beliau meminta supaya satu perundingan dapat dijalankan dengan baik antara parti itu dengan Gabungan Rakyat Sabah (GRS) bagi memilih ketua menteri Sabah yang baru.

Bagaimanapun katanya, secara munasabah, parti yang mempunyai kerusi paling banyak akan memimpin kerajaan negeri.

"Biar orang Sabah tentukan ketua menteri tanpa ada telunjuk yang menunjukkan siapa orang itu sama ada dari Kuala Lumpur atau Putrajaya," kata Zahid.

Rakyat Sabah sudah pilih – KJ

KUALA LUMPUR – Meskipun Warisan kalah dalam Pilihan Raya Negeri Sabah, namun Khairy Jamaluddin berkata, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal masih sahabatnya.

Menurut Khairy, bekas Ketua Menteri Sabah dan Presiden Warisan itu telah berjuang dengan baik sepanjang kempen pilihan raya ke-16 buat negeri itu.

"Penduduk Sabah telah memilih dan pemimpin-pemimpin mesti berlaku adil terhadap harapan mereka kepada kesatuan yang lebih adil. Radu sampai menang," katanya.

Tahniah GRS, bukti rakyat Sabah sudah muak – Pemuda Pas

KUALA LUMPUR – Pemuda Pas melahirkan rasa syukur dan mengucap tahniah kepada Gabungan Rakyat Sabah (GRS) yang terdiri daripada Barisan Nasional dan Perikatan Nasional atas kemenangan Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah malam ini.

Ketuanya, Ir Khairil Nizam Khirudin berkata, setelah dipertontonkan dengan segala kempen yang pelbagai daripada parti lawan, menggunakan sentimen kebencian dan hasutan, akhirnya rakyat Sabah menunjukkan kematangan dalam memilih kerajaan yang benar-benar membawa kesejahteraan yang diinginkan.

Kata beliau, kekalahan Parti Warisan+ dan rakan sekutu kuatnya, DAP adalah petanda jelas yang rakyat sudah muak dengan permainan politik yang hanya bergantung kepada sentimen dan retorik yang memusnahkan pembangunan dan kemajuan Sabah walaupun peluang selama 26 bulan telah diberikan oleh rakyat kepada mereka.

"Namun, kemenangan ini bukanlah suatu perkara yang perlu diambil sebagai kemenangan yang selesa kerana ianya adalah permulaan kepada kejayaan permuafakatan yang telah dibina sejak daripada Muafakat Nasional terbentuk sehinggalah peralihan kerajaan Perikatan Nasional mengambil alih tampuk pemerintahan negara daripada Pakatan Harapan.

"Pemuda Pas berharap kemenangan ini akan membuahkan lagi kekuatan permuafakatan yang diidami rakyat Malaysia dan bersedia untuk berhadapan dengan cabaran yang lebih besar iaitu Pilihan Raya Umum yang bakal berkumandang tidak lama lagi.

"Kekalkan fokus kita dalam memastikan tiada tangan durjana yang kembali memerintah negara dan meneruskan agenda rakyat yang terbukti membawa hasil yang cukup dirasai oleh semua lapisan rakyat dibawah Kerajaan Perikatan Nasional," katanya dalam satu kenyataan di sini malam ini.