Skip to main content
Dua Pelajar Sekolah Menengah Pula Positif C0vid 19, Pengarah Pendidikan Negeri Beritahu Adakah Sekolah Ini Akan Ditutup Atau Tidak

SHAH ALAM, 28 Sept (Bernama) — Jabatan Kesihatan Negeri Selangor memaklumkan terdapat dua pelajar di sebuah sekolah menengah di Pandamaran Jaya, Pelabuhan Klang dekat sini, dikesan positif C0VID 19.

Bagaimanapun Pengarahnya Datuk Dr Sha'ari Ngadiman ketika dihubungi berkata, kedua-dua pelajar berkenaan telah dihantar ke Hospital Sungai Buloh, untuk mendapatkan rawatan lanjut.

Kedua-dua pelajar berkenaan yang juga adik beradik disyaki dijangkiti oleh abang mereka, yang mempunyai sejarah perjalanan ke Sabah baru-baru ini.

Sementara itu, Pengarah Jabatan Pendidikan Negeri Selangor (JPNS) Izmi Ismail pula berkata, sekolah berkenaan masih meneruskan sesi persekolahan seperti biasa hari ini, namun kelas kedua-dua adik beradik itu telah disanitasi sepenuhnya terlebih dahulu, sebelum digunakan.

Katanya, sebarang tindakan lanjut seperti penutupan sekolah itu sekiranya perlu, adalah berdasarkan kepada nasihat daripada Pejabat Kesihatan Daerah Klang.

Sementara itu di JOHOR BAHRU, CIMB Group Holdings Bhd hari ini mengesahkan satu kes C0VID 19 melibatkan seorang kakitangannya yang bertugas di bahagian komersial, cawangan Permas Jaya.

Kumpulan itu menyatakan sebagai tindakan pencegahan, keseluruhan cawangan itu telah melalui pensanitasian dan pembersihan, semalam (27 Sept).

"Ini berikutan satu kes yang disahkan C0VID 19 di pejabat Komersial Bank CIMB, yang terletak di tingkat berbeza cawangan Permas Jaya.

Tiada kakitangan cawangan bank telah berurusan dengan pekerja komersial bank tersebut," katanya dalam satu kenyataan yang dimuat naik menerusi Facebook CIMB Malaysia, di sini hari ini.

Bank tersebut turut memberikan jaminan kepada pelanggannya yang cawangan bank CIMB Bandar Baru Permas Jaya dibuka seperti biasa.

Sementara itu, Pengarah Kesihatan Johor Dr Aman Rabu yang dihubungi, turut mengesahkan proses sanitasi yang dilakukan CIMB itu adalah atas inisiatif sendiri dan langkah-langkah kawalan, berikutan pengesanan kes C0VID 19 melibatkan kakitangan bank berkenaan.

Beliau berkata demikian, ketika diminta mengulas mengenai beberapa keping gambar yang tular di media sosial, mendakwa terdapat kes C0VID 19 di cawangan bank berkenaan di sini, yang menunjukkan beberapa individu sedang melakukan proses sanitasi.

Sumber : SK/Bernama